KUALA LUMPUR 28 Julai – Sejumlah 10,000 jurutera tempatan bakal dilatih dalam tempoh sedekad akan datang di bawah inisiatif gergasi reka bentuk semikonduktor berpangkalan di UK, Arm, bersama Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
Program latihan Arm On-Demand itu bertujuan membina bakat tempatan dalam teknologi tinggi dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor global.
Ia direka khusus untuk melengkapkan jurutera Malaysia dengan kemahiran lanjutan dalam reka bentuk dan pembangunan semikonduktor, terutamanya dalam reka bentuk litar bersepadu (IC).
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi lebih besar negara untuk beralih daripada peranan tradisional dalam pemasangan kepada aktiviti berasaskan inovasi seperti reka bentuk cip, penciptaan harta intelek (IP) dan penyelidikan & pembangunan (R&D) lanjutan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu bertujuan melahirkan generasi profesional baharu yang mampu mereka cip, membina syarikat, dan bersaing di peringkat global.
“Ini bukan sekadar latihan, tetapi usaha melahirkan profesional masa depan yang bersedia untuk mereka cip, membina syarikat, dan bersaing di peringkat dunia,” katanya semasa program pelancaran program itu hari ini.
Program itu menyasarkan penyertaan 1,000 peserta setiap tahun, dengan kumpulan pertama seramai 400 jurutera telah pun mendaftar. Setiap kursus lazimnya berlangsung antara tiga hingga empat bulan dan merangkumi modul intensif yang relevan dengan keperluan industri.
Amirudin berkata, Kerajaan Selangor bekerjasama dengan 20 universiti termasuk Monash University Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui fakulti kejuruteraan masing-masing.
Syariat termasuk Arm dan MyStorage turut terlibat dalam inisiatif ini, dan graduan daripada kumpulan perintis terdahulu telah menerima pelbagai tawaran pekerjaan, dengan syarikat-syarikat secara aktif memilih calon terbaik untuk diambil bekerja.
Bagi memastikan kesinambungan dan impak program itu, Kerajaan Selangor komited untuk menyalurkan antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap tahun bagi menyokong pembangunan semikonduktor.
Sementara itu, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Ekonomi telah meningkatkan sokongannya daripada RM60 juta kepada RM100 juta, menunjukkan keyakinan kukuh di peringkat nasional terhadap inisiatif itu, dengan jumlah pelaburan keseluruhan dijangka melebihi RM100 juta dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Amirudin percaya matlamat yang lebih luas adalah untuk mengangkat Malaysia — khususnya Selangor — lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor, daripada peranan tradisional dalam pemasangan dan pembungkusan kepada menjadi hab bagi reka bentuk cip, penciptaan harta intelek (IP) dan penyelidikan & pembangunan (R&D) lanjutan. – DagangNews.com