Seperti yang sedia maklum, Malaysia kini merupakan salah sebuah negara yang sangat penting apabila bercakap mengenai industri cip semikonduktor global. Malaysia merupakan destinasi utama untuk tujuan ujian dan pmpakejan cip-cip ini. Syarikat-syarikat pereka cip semikonduktor besar seperti AMD, Intel, Micron dan sebagainya juga menjadikan Malaysia sebagai pusat ujian dan pempakejan utama mereka.
Walaupun begitu, ada banyak lagi ruang untuk industri ini berkembang, khususnya untuk Malaysia mula menghasilkan cip semikonduktor mereka sendiri. Oleh kerana itu, Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dan syarikat pereka cip ARM baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama untuk membawa program pengenalan rekacipta cip semikonduktor ARM-On-Demand ke Malaysia.
Melalui kerjasama ini, Arm-On-Demand merupakan sebuah program 10 tahun yang mempunyai cita-cita untuk bukan sahaja melatih 10 ribu orang jurutera pereka cip semikonduktor, tetapi juga untuk mereka-cipta cip semikonduktor yang dibangunkan tenaga kerja tempatan pertama dalam tempoh 5-10 tahun akan datang.

Dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beliau turut mengatakan bahawa pelan program ini ialah untuk melatih sekitar 1000 jurutera setiap tahun untuk 10 tahun yang akan datang. Program ini sudahpun bermula baru-baru ini dan sudahpun mempunyai kira-kira 400 orang peserta.
Program ARM-On-Demand ini terdiri daripada pelajar kejuruteraan dan jurutera daripada lebih dari 40 buah universiti tempatan dan 80 syarikat kejuruteraan dan teknologi tempatan, dan program tersebut akan berjalan untuk tempoh tiga bulan.
Sepanjang tempoh ini, mereka yang menyertai program ini akan mempelajari tentang pelbagai jenis teknologi komponen ARM, termasuklah pemproses Arm Cortex-A, Cortex-R, dan Cortex-M, sistem terbenam, pembangunan teknologi System on a Chip, pembangunan cip pemprosesan grafik Mali, sistem kamera, pembangunan cip NPU untuk kecerdasan buatan dan sebagainya.